Wednesday, April 27, 2011

Abang pergi seketika

Semalam saya bertolak dari kampung meninggalkan isteri tercinta. Isteri saya hantar tempat perhentian bas. Wajah senyum isteri saya tidak seperti biasa seolah-olah tidak merelakan saya meninggalkannya. Saya ketika itu suami yang serba salah. Isteri saya mencium tangan saya sebelum saya naik bas. Hiba saya bertambah dan sesungguhnya perasaan ini jarang berlaku pada saya sepanjang perkahwinan ini. Walaupun saya tahu pemergian saya akan kembali dan bukanya pergi berjuang seperti perajurit yang mempertaruhkan nyawa. Cuma saya mengorbankan masa seketika disaat isteri saya memerlukan .Isteri saya seorang yang ceria dan jarang menunjukkan wajah yang kurang menyenangkan walaupun dalam keadaan susah. Kalau dia gembira dia akan senyum penuh dan kalau sedih akan senyum separuh tetapi masih dalam keadaan senyum.

Saya faham dalam benak fikiran isteri saya seribu kerisauan memikirkan detik akan melahirkan anak. Ini pengalaman pertamanya meneruskan tradisi fitrah menanggung perit sakit ketika melahirkan seorang manusia . Dan pada saat itu keberadaan suami disisi amatlah perlu untuk mendapat semangat daripada suami. Sepanjang perjalanan saya di atas bas penuh dengan perasaan yang kurang senang dan kadang-kadang saya berfikir saya seorang suami yang kurang bersimpati dengan kesusahan isteri saya yang sedang sarat.
Setiap pusiangan roda bas berputar meninggalkan jauh isteri saya seolah-oalah fikiran saya turut berputar memikirkan perkara entah apa-apa. Semakin difikir semakin serabut. Mungkin hasutan syaitan menggangu jiwa alam keresahan.

Saya bukan seorang suami yang pandai berpesan lebih-lebih. Tak ada pesanan istimewa mahupun ayat-ayat cinta buat isteri saya melainkan meminta dirinya banyak membaca al-quran , solat hajat dan minum air zam-zam serta air bacaan doa alquran pelajar pondok kandis. Saya berharap semangatnya kuat menempuh hari mendatang walaupun penuh kerisauan tetapi masih berserah padaNya yang Maha Kuasa. Saya tahu dia tidak dapat membaca catatan saya kerana di kampong isteri saya tidak ada internet tetapi mungkin dia dapat membacanya nanti…

1 comment:

ohcikgu said...

insya-Allah, tidak akan apa-apa isteri cikgu tu. Doakan yang terbaik.