Tuesday, May 17, 2011

Cerita ketika hari hujan di sekolah saya








Cerita hujan di sekolah saya

Hujan turun dengan lebat. Begitulah rentak hujan sekarang bukan turun bermula renyai-renyai dahulu dan semakin lebat. Tanpa memberi amaran, ianya terus hujan membasahi bumi dengan lebat yang amat. Kalau tengah hari panas sehingga saya tidak boleh pakai tali leher kebiasaannya, hujan akan turun dengan lebat waktu petang. Panas di sini bukan seperti panas di kampung saya. Walaupun cuaca panas angin dingin masih bertiup di kampung saya. Panas dan tidak berangin kadang-kadang terasa semacam duduk di negara padang pasir.
Sekolah sesi petang, kalau cuaca panas memang agak tidak selesa. Dua kipas syiling yang berpusing di syiling kelas kadang hanya sebagai hiasan sahaja kerana tidak mampu memberi kedinginan yang selesa. Apabila cuaca panas jiwa pun cepat panas. Murid buat salah sikit pun panjang ‘ceramahnya ‘ atau rotan menyinggah ditelapak tangan murid. Cuaca juga mempengaruhi perasaan dan jiwa. Mungkin kalau kelas ada aircond , rasa nak marah pun akan berkurang sedikit.
Hujan turun semakin lebat. Saya berada di tingkat 3 bangunan darjah tiga. Cuaca yang panas semakin sejuk. Kelihatan sepasang merpati di atas bumbung bangunan sebelah, mengizinkan diri mereka di basahi hujan. Mungkin sepasang merpati yang bewarna putih itu sedang mandi. Kelihatan beberapa orang murid berlari dengan cepat ingin masuk ke kelas kerana ingin mengelak daripada basah. Longkang didepan kelas sudah dipenuhi air walaupun tidak sampai setengah jam hujan membasahi sekolah saya.

Air hujan di sini bagi saya adalah air yang ‘bahaya. Air hujan yang akan menurunkan bersamanya asap-asap kilang yang berhampiran dengan sekolah. Hujan turun bersama habuk-habuk kilang plastic , kilang-kilang seramik dan bermacam kilang yang berhampiran dengan saya. Hujan turun juga bersama asap-asap lori kontena yang sentiasa melalui jalan didepan sekolah membuat kadang-kadang terasa seperti terasa gempa bumi kecil kerana beban lori yang sarat. Kesibukan lori yang lalu didepan sekolah sehingga penduduk kampong mengantung banner yang berbunyi “ Lori tidak dibenarkan melalui jalan ini waktu murid masuk dan balik sekolah arahan oleh penduduk kampung . Selagi JKR yang bukan keluar arahan, peraturan tersebut tidak salah jika dilanggar.

Beberapa orang murid dari kelas 3M sudah asyik bermain hujan dan membuat perahu kertas untuk dihanyutkan didepan longkang kelas mereka. Baju dan seluar sudah basah dan mereka begitu riang bemandikan air hujan yang ‘bahaya’ itu. Cikgu mungkin lambat masuk kelas kerana ada hal dan tanpa disedari beberapa anak muridnya telah berseronok menikmati hujan dari langit. Kalau demam pun meraka akan datang sekolah juga esok kerana mak dan ayah bekerja dan biasanya mereka akan tidur dibilik kauseling yang mempunyai sofa. Hujan turun lagi suara saya dari atas bangunan tidak mampu untuk melaung murid yang mandi hujan dibawah. Begitulah cerita hari hujan disekolah saya.

No comments: