Wednesday, June 29, 2011

Akulah Lelaki Itu-Catatan tunggu bas

Dari Manik Urai Baru ke Klang

Hujan turun renyai-renyai. Isteri saya hanya melambai dari anjung rumah sahaja sambil mendukung Adam yang demam. Di dahinya baru ditampal dengan cool fever untuk mengurangkan kepanasan tubuhnya. Rasa sedih untuk meninggalkan Adam dan uminya. Tambahan pula Adam kurang sihat. Sebelum naik kereta beberapa kali aku cium Adam dan mata Adam memandang tepat kepada aku seolah-olah melihat dan mencari rasa sayang yang selalu pergi.





Penunggu Yang Gelisah

Aku bukan seorang yang suka menunggu. Selalu akan gelisah kalau menunggu sesuatu. Ada betulnya penantian satu penyiksaan walaupun tunggu bas. Lebih-lebih lagi kalau bas yang kita tunggu lewat daripada waktu sepatutnya. Sepanjang saya naik bas jarang sekali bas menepati waktu yang tertulis ditiketnya.

Tempat menunggu bas ada pelbagai ragam manusia. Ada yang tenang bertemankan hembusan asap yang dikeluarkan dari mulut dan hidung, Asap-asap jenama Dunhill atau Gudang Garam kelihatan samar-samar sahaja naik ke udara kearah sinar neon. Tiga buah bas telah sampai tetapi semua bukan bas yang saya naik. Seorang anak mencium tangan dan pipi ibunya sebelum naik ke atas bas, dan melambai-lambai tangan , mungkin dengan doa sekali semoga anaknya selamat sampai ke destinasi.

Dua buah bas sampai lagi. Bas dua tingkat. Lampu didalam bas dipasng apabila berhenti untuk penumpang naik. Kelihatan beberapa penumpang bas telah tidur dengan gaya masing-masing. Dengan lena sekali walaupun lampu di dalam bas telah bercahaya. Ada tempat duduk seorang dan ada tempat duduk berdua. Dua tempat duduk berdua seorang wanita lena tidur dibahu lelaki diseblahnya , mungkin sepasang suami isteri yang bercuti ke Kelantan dan akan balik ke Kuala Lumpur. Tempat duduk belakang pun sama, ada sepasang lelaki dan perempuan tetapi perempuan tidur berpaling muka ke arah lain membelakangi lelaki tersebut seolah-olah pasangan suami isteri yang bergaduh. Semua gelagak tersebut dapat dilihat melalui tingkap bas yang berkaca seperti menonton ikan di dalam akuarium yang besar.

Anak tercinta

Aku masih menunggu, ingatan aku jauh melayang mengingati anak kecil lelaki ku. Tengah hari tadi isteri aku membawanya ke klinik dan doktor kata demam. Bayi yang kecil kalau demam meragam dan susah hendak tidur. Kalau demam itu boleh dipindah mahu sahaja aku menanggung demam tersebut.

Kasih dan sayang seorang ayah kepada anaknya adalah anugerah dan semula jadi. Rasa sayang dan rindu itu datang tiba-tiba. Kalau bayi itu senang dijaga tanpa menangis atau perlu tukar lampin boleh sahaja saya bawa ke Klang dan jaga sebaik mungkin dengan meyediakan susu botol secukup mungkin. Tetapi karenah bayi agak unik, perlu pada belaian seorang ibu, kadang-kadang ayahnya dukung tetap menangis tetapi kalau ibunya dukung terus senyap. Aura seorang ibu memang hebat.

Sejam kemudian

Bas yang aku tunggu hadir sejam dari masa sepatutnya. Lewat sejam. Aku tak kata apa-apa. Hanya naik di atas bas dan mencari tempat duduk aku. Sejam kemudian aku terlelap ketika aku memikirkan keluraga baru aku. Isteri dan anak kecilku.

ps/tq adik-adik ipar yang sudi melayan Adam

1 comment:

ohcikgu said...

comelnya adam.. :)