Wednesday, April 8, 2009

Tips temuduga KPLI

Tips temuduga KPLI


Ramai juga kawan-kawan saya yang bertanya kepada saya tips semasa menghadiri temuduga KPLI. Secara peribadinya , memang susah untuk saya memberi tips kerana sukar untuk diramal apa yang akan ditanya semasa temuduga nanti. Paling mudah ialah dengan membaca tips atau panduan temuduga umum . Kebanyakkan dari kita sudah mengetahui dan tidak jauh berbeza dengan tips temuduga untuk menghadiri temuduga KPLI. Di anatranya ialah:

1. Berpakaian kemas dan seperti seorang guru. Termasuk dari segi potongan rambut. Bertali leher , pakaian berseterika dan menggunakan padanan warna yang sesuai. Maksud saya ialah padangan warna tali leher dengan baju atau pun padanan seluar dengan baju.
2. Datang lebih awal samaada paling kurang 15 minit awal. Supaya anda lebih bertenang dan tidak kelam kabut.
3. Susun sijl dengan teratur. Kalau tidak silap saya paling atas mengikut susunan ialah surat kelahiran, kad pengenalan, sijil SPM, transkrip keputusan , dan diikuti dengan sijil-sijil akademik yang lain . Pastikan anda telah membuat salinan bagi semua sijil-sijil tersebut dan dapatkan pengesahan. Semasa saya pergi temuduga dahulu ada calon yang tidak membuat pengesahan pada sijil tersebut, tetapi ada pegawai di tempat temuga yang baik hati membuat pengesahan.
4. Soalan-soalan yang biasa akan ditanya ialah
a- Terangkan secara ringkas mengenai diri kamu. Soalan boleh ditanya dalam bahasa Inggeris atau Melayu.b- Falsafah pendidikan guru, plan induk pendidkan, Nama menteri dan pengarah pelajaran.c- Mengapa kamu berhenti bekerja dan sanggup menjadi guru …. Sekiranya calon pernah bekerja dan mempunyai gaji yang lumayan berbanding gurud- Apakah sumbangan yang kamu akan berikan dalam pendidkan dengan kemahiran yang kamu ada.e- Sanggupkah kalau kamu akan dihantar ke Sabah atau Serawak atau sekolah luar Bandar yang serba kurang.f- Pandangan anda berkenaan dengan isu semasa terutama isu yang berkaitan dengan perguruan.g- Dan banyak lagi soalan yang akan ditanya berkaiatan dengan kebolehan anda dan sumbangan
5. Menjawab soalan dengan tenang setenang James Bond menghadapi suasana sukar.
6. Tidak terlalu menunjuk anda seorang yang terlebih bijak. Bersederhanalah dalam menjawab.
7. Paling penting berdoalah kepada Allah kerana dialah yang Maha Memberi Rezeki..Sebelum saya terlupa, masa temuduga paling minimum 15 minit mungkin sampai setengah jam pun ada kalau 20 minit tu biasa sahaja. Bersedialah mempromosi diri anda untuk menunjukkan anda mampu menjadi guru yang terbaik.

Selamat berjaya

Saturday, January 31, 2009

Cara guru terpngaruh semasa menjadi anak murid

Cara guru terpengaruh semasa menjadi anak murid

Mungkin ramai yang setuju dengan pendapat saya yang mengatakana cara guru mengajar dan mendidik anak muridnya ada sedikit pengaruh daripada semasa dia menjadi anak murid. Walaupun kenyataan saya ini adalah bukan satu kajian yang terperinci tetapi mungkin ada kebenaran walaupun bukan secara keseluruhan. Boleh dikatakan setiap daripada kita mempunyai guru yang paling kita minat semasa kita menjadi murid. Guru tersebut mungkin mempunyai pelbagai ciri-ciri yang menarik dan mampu membuat kita mudah faham apa yang kita ajar. Pelbagai pendekatan yang guru kita mengajar kita dahulu akan kita ingat kembali dan kita akan aplikasi balik semasa kita menjadi guru. Ada guru yang garang dan pernah kita menyampah kepadanya suatu masa dahulu kerana mendenda kita , tetapi dengan cara dendaanya membuat kita rajin dan berusaha untuk Berjaya. Ada juga guru yang baik dan selalu memberi semangat kepada kita dan membuat kita rajin dan minat dengan mata pelajaran yang di ajar.

Pendekatan guru kita dahulu menjadi rujukan kepada guru untuk aplikasi balik kepada murid, kerana kita yakin dengan kaedah tersebut dan kita telah lalui proses keberkesanan tersebut. Walau apapun cara, pilihlah cara terbaik sesuai dengan persekitaran semasa. Tidak semua cara yang digunakan oleh guru lama kita berkesan dan mampu memberi kesan kepada anak murid kita balik. Wallahwaalam

Tuesday, January 27, 2009

Rotan , pukul, pulas telinga, denda… boleh ke.


Rotan , pukul, pulas telinga, denda… boleh ke.



Guru besar telah berpesan kepada guru bahawa semua guru tidak dibenarkan “mencederakan’ murid daripada segi fizikal mahupun dalaman. Menurut guru besar, semenjak 10 hari persekolah sudah ada 4 komen daripada ibu bapa murid berkenaan guru yang ‘menderakan’ anak mereka. Kalau bab komen ini ibu bapa memang suka, mungkin Nampak lebih hebat apabila dapat memberi komen pada sekolah. Tak ada pula rasanya ibu bapa yang bagi pujian kat sekolah kerana anak mereka Berjaya. Ibu bapa saya pun tak pernah juga bagi pujian kat sekolah tetapi sekurang-kurangnya tak pernah bagi komen pada sekolah mahupun mengutuk sekolah. Maklumlah ibu bapa saya orang kampung dan percaya kepada cikgu siap pesan lagi kat cikgu “ Cikgu pukulah anak saya jika perlu , jangan patah cukuplah asalkan dia faham dan belajar cukuplah”.

Boleh ke merotan pelajar ? Jawapannya memang tak boleh, ibu bapa boleh menyaman guru yang merotan anaknya. Persoalan kedua. Perlukah merotan ? Pada pendapat saya , perlu dan mesti pandai menggunakan rotan pada tempat dan caranya. Murid ada pelbagai jenis perangai, ada ketika perlu berlembut dan ada ketika perlu menggunakan pendekatan agak garang. Saya pernah masuk ke dalam kelas 3M-Maju( kelas paling hujung dan merupakan kelas ke -13). Saya menjadi guru ganti dan mengajar subjek pendidikan Islam. Pada mulanya agak kekok juga untuk menjdi ustaz ni, maklumlah perlu menggunakan tulisan Jawi. Saya cuba membuat pemerhatian dan kajian ringkas, pada minggu pertama ramai sangat murid yang tidak membawa buku tek pendidikan agama Islam. Saya tidak memarahi murid yang tidak membawa buku tersebut , malah saya mendekati murid tersebut seorang demi seorang dan memujuk dengan kata baik supaya membawa buku tek dan memberi rasional kenapa perlu membawa buku tek. Sepanjang seminggu saya membuat sedemikian tetapi kurang berkesan, pada setiap hari masih hampir separuh murid yang tidak membawa buku tek.

Minggu seterusnya saya menggunakan pendekatan ‘rotan’. Sesiapa tak bawa buku cikgu akan bagi upah “ ,.sambil menunjukkan rotan. Alhamdulillah hari seterusnya semakin ramai murid yang membawa buku tek dan buku kerja. Sebelum saya rotan murid, saya test dulu kat tangan saya untuk menguji tahap kesakitan. Pada pendapat saya , merotan murid adalah bukanlah perbuatan terlalu kejam asalkan niat dan cara yang betul dibuat. Kalau sekadar niat mahu menakutkan murid dan melepaskan persaan marah kepada murid yang membuat salah , mungkin niat tersebut perlu diubah dan cara tersebut tidak betul. Seorang guru perlu membuat sedikit pemerhatian dan kajian ringkas cara berkesan untuk memudahkan proses pembelajaran. Sekiranya murid tersebut dengar kata dan senang mengikut arahan , rotan memang tidak dipelurkan lagi. Ada juga murid-murid yang terlalu lembab, kekadang saya tidak setuju kalau guru terlalu meneking dan marah murid begini. Dia bagi saya golongan ‘istimewa’. Murid yang memang layak dirotan adalah murid yang kurang ajar dan melawan guru. Pendekatan rotan bagi murid berkenaan bagi saya amat sesuai. Kalau setakat marah biasa, kurang menjadi pada zaman sekarang. Apa yang saya tulis adalah pendapat peribadi sahaja. Kemungkinan apa yang saya cerita dan tulis tidak praktikal ditempat dan suasana anda . Wassalam


Monday, January 19, 2009

Pak Lah VS Mawi

Pak Lah VS Mawi

Seperti biasa, sekiranya ada cikgu yang tidak hadir ke sekolah kerana sebab-sebab yang tertentu saya akan menjadi guru ganti. Memandangkan saya hanya guru ganti dan merangkap guru bimbingan , semasa kelas ganti tersebut saya akan menggunakan peluang tersebut untuk membuat sesi bimbingan dengan murid. Saya masuk dalam kelas darjah satu dan cuba memberi penerangan kepada murid tahun satu bahawa sekolah adalah tempat yang seronok dan jangan malas datang ke sekolah. Dua hari lepas ada murid yang menangis dan teriak mahu pulang , terpaksa guru pemulihan pujuk. Nasib baik ada guru pemulihan kak Hana yang pujuk dan dibacakan ayat suci lalu ditiupkan pada ubun-ubun murid tersebut. Memang menjadi. Aura seorang ibu serta karisma guru lama memang banyak berbeza dengan guru yang baru setahun jagung dan masih belum menikmati kerjaya ini. Saya bertanya kepada salah seorang murid tahun satu di mana dia tinggal. Senang sahaja dia menjawab dia tinggal di depan masjid dan saya tanya pula rakan sebelahnya , dengan selamba sahaja dia menjawab tinggal belakang masjid.

Kekadang kelakar juga jawapan yang diberikan oleh murid-murid darjah satu ini. Macam skrip kartun upin dan ipin sahaja. Seterusnya saya bertanya apa cita-cita mereka, salah seorang darinya kata nak jadi penyanyi macam Mawi. Saya tanya lagi , ok kelas siapa yang kenal Mawi angkat tangan . Semua murid tahun satu angkat tangan . Soalan seterusnya saya tanya , siapa yang kenal perdana menteri Malaysia. Semua senyap , kaku tak menjawab. Hebatnya abang Mawi, popularitinya mengalahkan perdana menteri Malaysia. Nasib baik murid sekolah yang kecik-kecik ni tak boleh mengundi kalau tidak , hancur lah .

Begitu hebat kuasa media terutama media hiburan yang menggunakan televisyen untuk mempromosi artis-artis yang memberi keuntungan kepada mereka sehinggakan secara tidak langsung tertanam sedikit asuhan kepada murid-murid untuk menjadi seorang yang terkenal macam artis yang mereka minati. Memang menjadi artis kalau kena cara dan ada aura macam Mawi boleh jadi jutawan sekelip mata, tetapi kalau ada kerja lain yang lebih baik pilihlah kerja lain dahulu sebelum membuat keputusan muktamad untuk menjadi artis. Wassalam

Wednesday, January 14, 2009

Berucap di majlis perhimpunan rasmi sekolah


Berucap di majlis perhimpunan rasmi sekolah



Saya sebenarnya bukan seorang pemalu untuk bercakap di depan khalayak ramai.Kalau semasa belajar dulu , saya selalu menjadi juru bentang sekiranya ada pembentangan. Tetapi entah kali ini saya merasa agak kekok untuk berucap di depan perhimpunan. Bukan sebab rasa tidak selesa kerana ramai guru yang akan mendengar ucapan saya . Saya telah biasa kalau berucap didepan guru tetapi untuk berucap di hadapan murid tahap satu yang terdiri daripada pelajar tahun 1, 2 dan 3 agak kekok. Kalau dalam jumlah yang sedikit saya rasa ok lagi tetapi dalam jumlah 1600 orang agak kalut dibuatnya. Saya terbayang apa yang saya ucapkan hanya akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja. Saya juga pernah melihat beberapa orang guru bercakap memberi ucapan di medan perhimpunan tetapi murid tidak ambil perhatian pun umpama bercakap senderian. Agak tercabar juga saya. Kalau menggunakan bahasa pelik dan “tinggi” takut ramai yang ternganga. Bahasa mudah pun ramai yang masih tidak faham tambahan pula murid tahun satu di awal tahun yang masih dilema dan tidak percaya yang bahawa dia telah menduduki alam belajar rasmi iaitu darjah satu.

Mahu tidak mahu saya terpaksa juga berucap di medan perhimpunan kerana minggu tersebut memang saya yang bertugas dan perlu berucap di medan pehimpunan. Memandangkan ini adalah kali pertama yang berucap didepan “budak-budak” kecik , saya terpaksa membuat sedikit latihan dahulu sehari sebelum saya berucap dengan merakam dan mendengar balik ucapan saya. Rasa tidak percaya pula saya membuat latihan untuk berucap di depan perhimpunan untuk ucapan tidak sampai 5 minit. Namun saya perlu buat juga kerana saya memang jenis serius dan tidak mahu saya yang becakap sendirian dan hanya didengar oleh tiang-tiang bendera.

Walaupun bagi sesetengah cikgu anggap benda ini benda biasa dan memang telah biasa kerana kerana dia telah biasa meng’handle’ pelajar tetapi bagi saya yang tidak berpengalaman mengambil serius. Apapun saya agak berpuas hati kerana walaupun hanya 5 minit lebih berucap tetapi saya lihat murid-murid mengambil perhatian. Saya fakir, bukan saya sahaja yang tidak selesa berucap di hadapan murid-murid yang masih keank-anakkan tetapi Dato Sri Anuar Ibrahim pun belum tentu Berjaya berucap di depan murid-murid yang masih mentah. Kesimpulannya , kekadang sesuatu yang mudah itu agak sukar kerana kita tidak biasa dan tidak mengalaminya sendiri.

Sunday, January 4, 2009

Selamat Datang Murid Tahun Satu




Selamat Datang Murid Tahun Satu

Pengalaman memasuki alam persekolah secara rasmi bermula daripada darjah satu. Walaupun ramai yang pernah bersekolah tadika tetapi tahun satu adalah permulaan alam persekolahan yang “sebenar”. Pelbagai ragam murid tahun satu pada hari pertama mereka memasuki sekolah. Begitu juga ayah dan emak tersenyum sendirian kerana anak-anak mereka telah memasuki alam persekolahan yang rasmi. Ada yang masih ragu-ragu mahu meninggalkan anak mereka disekolah kerana takut apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anak mereka.

Di sekolah saya, hari orientasi bagi murid darjah satu di adakan 2 hari awal sebelum hari persekolahan. Murid-murid dating dengan ditemani kedua ibu bapa dengan wajah separuh ceria dan ada yang kelihatan “blur’ sahaja. Beberapa orang guru ditugaskan untuk membawa pelajar mengenali kawasan sekolah , tetapi aktiviti tersebut tidak berjalan dengan lancar kerana cuaca hujan.

Tandas Tempat Paling Penting

Pada pendapat saya diantara tempat yang dibawa oleh guru untuk dikenali oleh pelajar , tandas adalah tempat yang paling penting. Tidak perlu saya cerita kepentingan tandas semua orang perlu menggunakan tandas walaupun anak raja sekali pun.
Ada satu cerita diceritakan oleh guru lama kepada saya, seorang murid tahun satu mengamuk mahu balik untuk “ melepaskan hajat” kerana semasa mahu masuk tandas dan menunaikan hajat diganggu oleh murid lain dengan menendang pintu membuat dia merasa tidak selamat untuk melepaskan hajat. Memang situasi menjadi serba salah , kalau tidak dibawa balik nanti murid tersebut melepaskan hajat tempat tidak sepatutnya , guru juga yang susah dan terpaksa menjadi cleaner pula. Mahu tidak mahu terpakda menelefon juga ibu bapanya. Nasib baik rumah murid tersebut tidak jauh dari sekolah dan maknya hanya suri rumah. Ada juga cerita pelajar tidak mampu menahan hajatnya dan melepaskan hajatnya dikelas. Banyak kisah-kisah lucu murid tahun satu kalau mahu diceritakan. Kalau semasa zaman saya darjah satu dahulu pelajar menangis mahu ikut ibu bapa balik memang perkara biasa tetapi tidak pula saya lihat situasi tersebut disekolah ini.

Sebelum saya balik saya lihat ada juga murid tahun satu yang telah basah baju mereka kerana bermain berlari-lari dengan rakan-rakan mereka. Ibu bapa hanya tersenyum melihat telatah anak-anak mereka mungkin tidak mahu menunjukkan sifat marah mereka di depan guru dan begitu juga guru-guru hanya melihat sahaja dan memendam geram. Apapaun selamat dating pelajar tahun satu. Wassalm.

Selamat Tahun Baru Guru Malaysia






Selamat Tahun Baru Guru Malaysia


Pertamanya saya ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua guru di Malaysia. Cuti yang lepas hampir sebulanlebih mampu memberi semangat baru kepada guru untuk membina semula semangat dan menyembuhkan segala tekanan sepanjang mengajar. Bermula awal baru seharusnya membina azam baru yang penuh dengan semangat terutama semangat sebagai seorang pendidik. Ada juga diantara guru yang tidak sabar-sabar lagi untuk merutinkan kehidupan sebagai seorang pendidik. Rindu dengan gelak tawa pelajar dan ragam-ragam pelajar. Senyum manis pelajar menjadi kerinduan membuat rasa tidak sabar lagi untuk melangkah ke sekolah sebagai seorang pendidik.

Azam tahun baru saya ?

Saya guru baru. Banyak perkara lagi seharusnya saya pelajari selok belok dunia perguruan dan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya saya ada. Azam baru saya tahun ini ialah untuk menimba semangat mungkin ilmu perguruan daripada guru-guru lama dan daripada pemerhatian. Saya juga berazam untuk menambah senyuman. Entahlah , ada juga di antara rakan saya yang mengatakan saya kurang senyuman dan terlalu serius ketika membuat kerja. Saya akui , kalau saya sedang membuat kerja saya akan focus betul-betul. Kalau boleh saya mahu membuat kerja di dalam bilik yang berkunci tanpa gangguan. Kalau ada sahabat saya yang menyapa ketika saya buat kerja memang agak sukar untuk saya melayan mereka seperti biasa. Itu cara saya, ada kebaikkan dan ada juga kekurangan. Saya tidak nafikan ada orang yang mampu membuat kerja dengan baik sekali walaupun sambil berborak dan melayan kekawan yang lain. Tetapi bukan saya. Apapun saya memang berazam untuk menambah senyuman dibibir saya semoga setiap hari saya dipenuhi dengan pahala sedekah dan lebih mendapat keberkatan dariNya.